0

5 Teknik Menyimpan Daripada Pakar Kewangan

Posted by Rosfazlie on 2:14 AM

5 Teknik Menyimpan Daripada Pakar Kewangan

Teknik ini adalah gabungan teknik menyimpan oleh individu yang terkenal dalam pengurusan kewangan seperti Shamsuddin Kadir, penulis buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang, Arkad, orang terkaya di Babylon dan Abang Abu, pengasas Mekanik Wang.

#1 – Simpan Si Hijau

Simpan Hijau
Menyimpan not hijau RM5 adalah satu idea yang kreatif. [Nur Saffawati]
Tiap kali pulang ke rumah, apabila ada Si Hijau (RM5) dalam dompet, simpan ia ke dalam tabung. Dapatkan sebuah balang dan khaskan penyimpanan RM5.

#2 – Simpan Si Oren

Andai berkemampuan dan mampu menebaskan nafsu, tiap kali membawa pulang Si Oren (RM20), masukkan ke dalam balang yang dikhaskan untuk penyimpanan RM20.

#3 – Simpan Duit Syiling

Ini adalah taraf paling rendah bagi mereka yang dalam proses mampu menyimpan Si Hijau (rujuk tip 1). Masukkan semua duit syiling dalam dompet ke dalam balang khas untuk duit syiling.

#4 – Simpan 10% Duit Gaji

Bagi mereka yang bekerja makan gaji, kita sudah memerah keringat selama 30 hari. Perkara pertama yang patut dilakukan, apabila mendapat gaji adalah membayar diri sendiri pada nilai 10% daripada gaji.
“Bayar diri sendiri dahulu sebelum membayar orang lain.”
Arkad, orang terkaya di Babylon
90% Daripadanya, kita boleh habiskan jika mahu. Ada beza antara orang yang ada simpanan RM100 dengan RM10,000. Pemikiran, perasaan dan keyakinan kita akan berubah apabila kita ada simpanan RM10,000. Yang akan memudahkan kita menjadi magnet wang yang menarik lebih banyak wang.

#5 – Mulakan Menyimpan Setiap Hari (Walau 10 sen!)

“Aliran wang orang kaya – dapat duit, simpan dan baru belanja. Aliran wang orang miskin – dapat duit, belanja.”
Abang Abu, Mekanik Kewangan
Apabila kita tetapkan niat simpan setiap hari, secara tidak langsung kita sedang membuat satu aliran terhadap status kewangan kita. Ibarat kita sedang membuka empangan untuk mengalirkan air masuk. Mulakan dengan serendah 10 sen tiap hari.
“Semakin kita lakukan, semakin lancar empangan, semakin banyak air masuk.”
InsyaAllah lama kelamaan, duit akan mudah datang dan masuk dalam tabung. Jangan percaya. Praktikkan dan rasa sendiri. Minima 30 hari dan kongsikan dengan kami hasilnya.

0

3 Kepercayaan Karut Tentang Menabung

Posted by Rosfazlie on 2:11 AM

3 Kepercayaan Karut Tentang Menabung

Lebih meruncing lagi apabila masyarakat kita berpegang dengan pelbagai kepercayaan karut tentang menabung.
Sedangkan Islam sendiri mengalakkan agar umatnya menyimpan untuk kegunaan kita pada hari muka yang memerlukan seperti pengajaran yang Allah gambarkan di dalam surah Yusuf,

Surah Yusuf 48
Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). – Surah Yusuf 12:48

#1 – Tiada Duit Untuk Simpan

Hakikatnya tiap orang boleh menyimpan. Andai tidak mampu simpan dengan nilai yang besar, letakkan peratus paling kecil dan nilai paling rendah.
Kata-kata adalah antara salah satu bentuk doa. Justeru, tidak hairan mengapa kita tiada duit untuk simpan, kerana kita selalu cakap, ‘kita tiada duit untuk simpan’.

#2 – Simpan Untuk Kecemasan

Apa yang kita niatkan boleh menjadi doa yang paling kuat untuk dimakbulkan. Sesungguhnya kekuatan dalaman lebih kuat daripada kekuatan luaran. Oleh sebab itu penting menjaga niat.
Segarkan niat daripada ‘simpan untuk kecemasan’ kepada ‘simpan untuk meningkatkan kekayaan’. InsyaAllah itu yang akan berlaku apabila kita niatkan simpan untuk membina kekayaan.

#3 – Simpan Dengan Niat Hendak Digunakan Semula

Ia adalah suatu perkara yang biasa terjadi bagi mereka yang sudah mula menyimpan. Segalanya tertakluk kepada displin. Duit akan pergi kepada mereka yang bertanggungjawab.
Semakin kita tidak bertanggungjawab dengan duit kita, duit tidak akan suka dengan kita. Seperti kita ada anak perempuan yang mahu keluar pada pukul 2 pagi, pasti kita halang. Kita prihatin dengan anak kita. Begitu juga penting mempraktikkan ia dalam perihal kewangan.
Sumber 

0

Ingin Belajar Ikhlas?

Posted by Rosfazlie on 1:58 AM

Ustaz Asraff Ayob

   September 10, 2014  1 Comment
Kata orang, ikhlas itu sukar. Saya pun mulanya percaya begitu, tetapi ketika di Mesir saya belajar ertinya. Ia bukan datang dari syarahan ulama besar di Masjid tetapi dari seorang ahli konglomerat Mesir yang memilih untuk menjadi ’khadam’ masjid.
Dari beliau saya memahami, ikhlas itu mudah dilatih cuma terpulang kepada kita samada ingin melakukannya atau tidak. Antara hobi saya bersama beberapa rakan di Mesir adalah menghadiri majlis zikir setiap khamis malam Jumaat di sebuah masjid terkemuka di Kaherah, Mesir. Di sana, akan ada ribuan jemaah datang memenuhi masjid bermula maghrib hingga ke tengah malam untuk berzikir, bermadeh, berselawat dan mendengar tazkirah para ulama.
Masjid Mesir
Susana perkarangan salah satu masji di Mesir. [Keyle Zeman]
Jujurnya, kami tidak mengikuti semua aktivitinya. Kadang-kadang kami asyik berlegar di luar, membelek kitab & minyak wangi yang banyak terjual di kaki lima masjid. Ada juga waktu saya datang lewat, pukul sepuluh baru nampak muka kerana ingin makan percuma. Untuk makluman, masjid ini menyediakan juadah makan malam kepada semua jemaah yang hadir.
Dalam ribuan pengunjung yang hadir, saya terfokus kepada seorang tua. Umurnya lebih kurang enam puluhan. Aktivitinya agak pelik. Selalunya kami tersua beliau di kawasan tandas masjid, sibuk memastikan kebersihan tandas terjaga. Kadang-kadang dia akan menjadi penjaga rak kasut. Elok tetamu tiba, kasut mereka cepat-cepat beliau ambil untuk diletakkan di rak.
Ada juga waktu kami ternampak beliau di dalam masjid, setia menghulurkan ’syai’, kopi panas arab kepada tetamu. Jika tiada di dalam, mungkin kami menemuinya di ’mat’am’, kafeteria masjid. Laksana general, beliau menjadi orang kuat mengatur hidangan, memastikan semua jemaah makan sekenyangnya.
Benar, perbuatan orang tua itu pelik tetapi saya lebih pelik reaksi orang lain terhadapnya. Ramai yang menegurnya dengan penuh hormat dan ramah, melayaninya seakan-akan V.I.P. Tetapi ada juga yang memperlekehkannya, mengherdik beliau dengan kasar bila ia lambat.
Anda pasti mengira beliau siak masjid bukan? Saya pun mulanya begitu tetapi bila melihat beberapa ulama besar Al-Azhar melayaninya penuh ramah seperti kawan lama, saya fikir jawatannya bukan itu. Ketika majlis zikir selesai, apabila melihat beliau pulang dengan kereta Mercedes ’S Class’ siap dengan driver, saya bertambah musykil. Pasti dia ini bukan calang-calang orangnya.
Orang Tua
Seorang tua yang sangat merendah diri dan sentiasa tersenyum. [Ioannis]
Saya bertanya Mun’im, rakan arab yang selalu bersama kami,
Ya Mun’im, enta a’rif man huwa? Anda tahu siapakah orang tua itu?’ Saya bertanya Mun’im untuk kepastian.
Oooo, orang tua itu… dia orang besar di Mesir. Namanya Muhammad Ali Rif’ah (bukan nama sebenar). Enta jangan lihat sebelah mata sahaja. Kalau enta baca suratkhabar Al-Ahram, pendapatnya selalu keluar di bahagian ekonomi…
Haa? Dia big bisnesman ke?” saya terperanjat.
Bukan setakat big bisnesman, tapi dialah antara ketua syarikat pelaburan utama negara. Kira penasihat ekonomi Mesirlah. Orang kuat presiden tu…”
MasyaAllah! Tapi kenapa dia seperti orang biasa je?” Saya cuba menggali lebih dalam.
“Haa… itulah yang peliknya. Syeikh Robah (salah seorang tuan guru kami) pernah berbual dengannya bertanya soalan sama…”
Apa katanya?” saya memotong kata-kata Mun’im tanda rasa ingin tahu terlalu tinggi.
Luarbiasa dasyat Asraff. Dia memang hebat. Seingat saya, katanya kepada Syeikh :
’Dalam hidup saya, kemasyhuran sudah menjadi darah-daging. Ketika siang hari, saya sering dijulang dan dihormati manusia. Kadang-kadang saya terasa bersalah dengan Tuhan kerana cara hidup begitu banyak menumbuhkan perasaan ria’ dan ujub pada diri.. Kerana itu ketika malam hari, saya mewajibkan diri melakukan semua ini…..”
Mun’im melepaskan nafas. Kemudian dia menyambung kata-kata Syeikh Robah tentang orang tua itu yang masih diingatinya,
’Saya tidak kisah penghinaan, herdikan dan celaan kerana semua itulah yang menjadikan saya manusia semula. Semua itulah yang menyedarkan bahawa saya ini hamba Tuhan, tidak layak untuk memiliki hati yang merasa tinggi, bagus dan sebagainya….’
Mun’im memandang saya, “Ketika kita datang untuk belajar zikir, dia datang untuk belajar ikhlas Asraff….
Saya terkesima dengan penjelasasan Mun’im. Subhanallah, dia memang manusia ikhlas kerana sanggup melakukan perkara yang manusia normal malu untuk melakukannya. Pasti Tuhanlah penyebabnya. Pasti dia telah menghadam betul hikmah ayat ini :
’Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu (golongan miskin) kerana Allah semata-mata, dan kami tidak perlukan sebarang balasan atau ucapan terima kasih darimu. Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut ia kenakan kami azab pada hari di mana muka orang bersalah masam berkerut-kerut’.Surah Al-Insan, 9 & 10

Sumber dari : Ustaz Asraff Ayob


0

Penawar Buat Individu Yang Putus Harap

Posted by Rosfazlie on 1:56 AM

Di saat buntu, carilah Allah dahulu. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa kepada-Nya.

Kisah Danial Dan Rahmat – Kerana Sikap Bertangguh, Danial Dikatakan Bodoh

Suatu kisah, Danial dan Rahmat berkolaborasi dalam sebuah projek perniagaan. Rahmat ibarat pemimpin yang mengetuai projek itu. Danial pula jenis pengikut yang hanya mengikut apa yang Rahmat katakan.
Selama mereka berkolaborasi, Danial mula buat perangai. Dia bertangguh dalam tugasan untuk projek mereka. Diberi motivasi, baru Danial bertindak. Dalam pada itu, Danial banyak bertanya hal yang remeh kepada Rahmat.
Pada mulanya Rahmat rajin menjawab. Lama-kelamaan, dia mula bosan dengan sikap Danial. Walau Rahmat tidak perkatakannya tetapi Danial boleh rasa daripada perkataan yang ditulis oleh Rahmat di grup perbincangan maya mereka.
Rahmat mula mengeluarkan kata-kata kesat kepada Danial. Danial terasa direndah-rendahkan oleh Rahmat, seterusnya Danial membuat keputusan untuk berpecah dengan Rahmat.
Dia tawar hati untuk teruskan kolaborasi. Oleh sebab, semakin hari Rahmat semakin membuat Danial seperti rasa individu yang tidak berguna, bebal dan hanya menyusahkan dia.
Jadi, pada Danial, lebih baik dia berpecah dan cari haluan sendiri.

Hilang Tempat Bergantung – Peluang Dekat Dengan Tuhan

Selama lebih setahun, Danial bersama Rahmat. Kebanyakan hala tuju dan tugasan yang perlu dibuat Rahmat yang putuskan. Danial hanya mengekori apa yang Rahmat tetapkan.
Selepas perpecahan, Danial sedar betapa dia banyak bergantung kepada Rahmat selama ini dalam projek mereka. Danial rasakan seperti dia hilang tempat pergantungan.
Selama beberapa minggu, Danial tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Ke mana hala tujunya selepas ini. Dalam pada itu, Danial banyak menunaikan solat hajat untuk meminta petunjuk dan arah tuju daripada Allah.
Alhamdulillah, selepas beberapa minggu melakukannya, Danial mula dikurniakan tanda-tanda Allah tentang apa yang dia perlu usahakan.
Menangis Danial di atas sejadah kerana selama ini, dia banyak bergantung kepada manusia dalam urusannya. Dia terlepas pandang tentang rahmat Tuhan. Kehilangan Rahmat dalam projek perniagaannya menyedarkannya untuk kembali menadah tangan kepada Tuhan.

Tuhan Maha Mengabulkan

Berdoa
Berdoalah kepada Pencipta yang Maha Mendengar. [Websta]
Di Facebook Page Mudahnya Menjemput Rezeki dikongsi tentang tip percepatan pemakbulan impian atau penyelesaian masalah dengan izin Allah, iaitu 3 S – solat hajat, selawat dan sedekah.

1. Solat Hajat

Solat Hajat bertujuan untuk hamba-Nya meminta sesuatu kepada Allah. Di fasa ini, Danial mengadu tentang kebuntuannya mencari hala tuju apa yang perlu dia lakukan.
Danial mengakui kepada Tuhan bahawa kehilangan Rahmat dalam projek perniagaannya membuat dia hilang arah tuju.

2. Selawat

Dosa itu adalah penghijab rezeki yang paling baik. Semakin banyak dosa, akan semakin terhijab sesuatu doa. Justeru, perbanyakan selawat untuk membersihkan diri kita daripada dosa, seterusnya mempermudah pemakbulan doa. Insya-Allah.
Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.”Hadis Riwayat Ahmad,Nasai & Al-Hakim
Insya-Allah semakin banyak kita berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W., apabila hati semakin bersih, lebih mudah rezeki seperti idea, ilham datang kepada kita.

3. Sedekah

Selari dengan firman Allah,
“Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan (bersedekah) dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya).
Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga).”
Surah Al Lail, 92: 5-7
Insya-Allah apabila kita bersedekah dan melakukannya kerana Allah, Allah akan berikan jalan penyelesaian yang tidak disangka-sangka.
Di saat buntu, carilah Allah dahulu. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa kepada-Nya.
Sumber diambil dari Tazkirah Net

0

Pengurusan Kewangan

Posted by Rosfazlie on 8:29 PM
Ramai orang menganggap perancangan kewangan sebagai sesuatu yang membebankan serta menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang menyeronokkan. Kalau sentiasa hidup berjimat, sudah tentu anda perlu mengorbankan aktiviti-aktiviti keseronokan sekarang, bukankah begitu?
Cuba fikirkan, jika anda perlu berjimat, anda masih boleh memperuntukkan wang dengan sedemikian supaya anda mempunyai wang untuk keluar dengan rakan-rakan dan bersuka ria. Jika anda dapat mengaturkan tabiat perancangan kewangan yang baik, anda boleh memastikan anda mempunyai cukup wang untuk lebih berseronok pada masa hadapan!
Dengan merancang kewangan, anda berupaya mengelakkan perbelanjaan berlebihan, hutang tidak terurus, kebankrapan atau kebergantungan kepada orang lain. anda juga dapat mengeratkan lagi hubungan peribadi dengan orang sekeliling anda, seperti keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja kerana anda gembira dengan kehidupan anda dan tidak perlu pinjam-meminjam wang untuk memenuhi keperluan atau mengharapkan sumbangan kepada orang lain.
Selain itu, anda juga akan bebas daripada kebimbangan kewangan kerana anda telah merancang bagi masa depan, menjangka perbelanjaan dan mencapai matlamat peribadi hidup dan mampu menjadi lebih efektif untuk mendapatkan, menggunakan dan melindungi sumber kewangan anda sepanjang hayat, bukan bagi diri anda malah bagi mereka yang tersayang.
Dengan erti kata lain, apabila anda mempunyai pelan kewangan peribadi yang terurus, anda lebih arif tentang keperluan masa depan dan sumber yang sedia ada. Anda juga mendapat ketenangan kerana mampu mengawal segalanya. Hebat?
Tapi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perancangan kewangan?
Kalau mengikut definisi buku, ia adalah satu proses di mana seseorang individu merancang masa hadapan dalam memenuhi matlamat peribadi dan kewangan melalui pembangunan dan perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh.
Secara praktikal, perancangan kewangan adalah segala yang berkaitan dengan mengurus kedudukan ekonomi atau kewangan seseorang individu dengan mengambil kira perkara-perkara yang ingin dilakukan seperti berkahwin, membeli asset seperti kereta atau rumah, merancang untuk mendapatkan anak serta perancangan pendidikan anak kita. Melalui perancangan kewangan, kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Selain itu juga, ia adalah panduan untuk membantu anda mencapai sesuatu matlamat pada masa hadapan.
Tapi lazimnya, rakyat Malaysia masih belum diberi pendedahan secukupnya mengenai perkara ini. Kita harus akui bahawa dalam pendidikan formal di Malaysia, subjek tentang kewangan peribadi masih belum dilaksanakan secara menyeluruh. Natijahnya ramai rakyat Malaysia yang telah bekerja mengalami masalah kewangan terutamanya berkaitan tentang perbelanjaan dan hutang sedangkan separuh daripada manusia terkaya di dunia adalah perancang kewangan. Nama-nama seperti Warren Buffet (pemilik AIG Group) orang kedua terkaya di dunia dan keluarga Waltons (asasnya pemilik Wal-Mart) di mana 4 orang ahli keluarganya adalah antara 10 terkaya di dunia pada amnya adalah perancang kewangan yang boleh dijadikan contoh.
Merancang kewangan adalah satu proses dan strategi perancangan yang dirangka dengan baik yang menggunakan sumber kewangan anda untuk mencapai matlamat jangka masa sederhana dan panjang. Menerusi perancangan kewangan ini anda dapat melihat di manakah kedudukan kewangan anda pada masa kini, arahnya pada masa depan, bagaimana untuk mencapainya dan bila sepatutnya bermula.
Amat penting bagi setiap individu untuk membuat perancangan kewangan secepat mungkin terutama bagi mereka yang mula memasuki alam pekerjaan. Jika yang sudah lama bekerja, tetapi masih lagi belum membuat sebarang perancangan, masih lagi belum terlambat. Tidak kira di titik mana anda berada tetap tidak terlewat untuk membuat sebarang perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik. Merancang perbelanjaan dengan bijak dapat menyelamatkan kita daripada mengalami krisis kewangan. Tanpa perancangan yang rapi banyak perkara yang tidak dapat kita melakukannya dengan baik.
Sebagai contoh, sekiranya anda ingin bersara awal dengan harga barang keperluan seharian semakin meningkat. Jika kita tak menyimpan duit sekarang, mana datangnya duit itu esok hari? Kemudian ada yang beranggapan akan mati awal selepas bersara. Tiada siapa yang mampu meramal ajal dan maut bukan?. Jika masih tak bersedia untuk buat persediaan untuk orang yang akan terus hidup selepas kita tiada, bagaimana mereka meneruskan kehidupan jika hari esok tak ada simpanan? Bayangkan, jika anak-anak yang di tinggalkan masih kecil? Jika keadaan terdesak, adakah mereka akan membuat pinjaman daripada individu yang tak bertauliah? Selalunya kita beranggapan, bila hari itu tiba, pandai-pandai lah mereka teruskan kehidupan.
Itulah contoh betapa pentingnya merancang kewangan dalam kehidupan.
Belum jelas lagi? Baiklah, mari kita singkap satu persatu kepentingan merancang kewangan:
1. Asas Pengurusan Wang
Ia melibatkan pengurusan akaun simpanan dan cek. Dalam menguruskan aset kewangan, ini merupakan langkah pertama terhadap pengurusan aset kewangan yang lebih rumit seperti pelaburan dan akaun bersara. Anda mestilah bijak memilih akaun cek di bank/institusi kewangan yang tepat. Menguruskan akaun simpanan melibatkan pemahaman pentingnya simpanan, menetapkan tujuan simpanan, dan memilih pilihan terbaik simpanan.
2. Pengurusan Kredit
Kredit adalah bidang kewangan peribadi yang menyebabkan ramai orang terjebak dalam masalah kewangan. Kredit membolehkan seseorang untuk menerima wang, barang, atau perkhidmatan dalam bentuk pinjaman dengan bersetuju untuk membayar pinjaman pada jangka waktu dan kadar bunga kredit tertentu. Pengurusan kredit yang betul adalah tentang kefahaman tentang pinjaman wang bagi mendapat tawaran yang baik; dan bagaimana untuk mengira beban kewangan dan bayaran bulanan. Ia juga melibatkan bagaimana untuk memperbaiki catatan kredit yang buruk dan tempat untuk mendapatkan bantuan jika anda mendapat kesulitan.
3. Pengurusan Cukai
Membayar cukai adalah aspek yang penting dalam perancangan kewangan diri. Tujuan pengurusan cukai adalah untuk menimbang pendapatan semasa dan akan datang seseorang serta membangunkan langkah yang berlainan dan/atau mengurangkan pembayaran cukai. Terdapat salah anggapan yang biasa dibuat iaitu hanya yang berpendapatan tinggi sahaja yang perlu terlibat dengan perancangan cukai. Semua pengguna harus merancang cukai mereka.
4. Perbelanjaan Berkesan
Dalam lingkungan had belanjawan diri sendiri, setiap individu melatih diri atau hak sebagai pengguna untuk memilih atau menolak pelbagai kebanjiran produk dan perkhidmatan yang sedia ada. Seperti anda membeli tanah dan kereta, wang anda dapat digandakan atau diboroskan. Jangan mensia-siakan pendapatan anda dan simpan lah untuk tujuan kesihatan diri.
5. Insurans
Walaupun betapa berhati-hatinya anda dalam menjalani kehidupan, anda tidak boleh mengelak daripada berdepan dengan kemalangan. Insurans telah direncanakan untuk melindungi harta anda daripada kemalangan, kesakitan, kecacatan, dan kematian. Matlamat anda adalah untuk mendapatkan insurans yang sesuai bagi setiap perkara insurans utama (hidup, kesihatan, kecacatan, kekayaan dan tanggungan).
6. Pengurusan Pelaburan
Pelaburan adalah proses yang membolehkan wang diperoleh melalui kerja, warisan/peninggalan, atau sumber yang lain. Pengurusan pelaburan yang baik adalah komponen penting bagi perancangan kewangan dan boleh membuatkan ia mudah untuk mencapai matlamat utama lain seperti membeli rumah, menghantar anak ke universiti, memulakan perniagaan, atau bersara dengan selesa. Amat sukar pada masa sekarang ini untuk menggandakan kekayaan tanpa melabur.
7. Perancangan Kewangan Untuk Masa Depan
Merancang untuk pembelajaran anak, tahun persaraan, dan mengenal pasti cara yang terbaik mewariskan harta kepada bakal pewaris anda. Terdapat dua pelan gaji persaraan iaitu persaraan ditaja majikan dan pelan persaraan individu. Selain itu, perancangan kewangan untuk masa depan ialah perancangan tanah (real estate). Untuk semua perancangan diri, perancangan tanah adalah relevan untuk anda.
Sudah jelas? Baiklah mari kita sama-sama belajar tentang sebahagian elemen dalam perancangan kewangan yang anda rasa ‘sukar’ ini:
1. Pengurusan Aliran Tunai
Berfungsi untuk menilai nilai bersih kewangan yang ada sekarang (apa yang dimiliki ditolak hutang yang sedia ada). Secara amnya akan menunjukkan kepada anda sama ada anda bakal menikmati kebebasan kewangan atau mengalami masalah kewangan.
2. Perancangan Pelaburan
Setelah anda menentukan jumlah wang yang ingin ditabung, anda patut menimbangkan pula di mana hendak melaburkan wang itu dengan matlamat untuk mendapat pulangan lebih tinggi dibandingkan dengan akaun simpanan yang biasa. Satu strategi pelaburan perlu dibentuk supaya anda mendapat kejayaan besar dalam mencapai matlamat kewangan anda.
3. Perancangan Insurans
Pastikan supaya semua aset dan keluarga anda dilindungi oleh insurans secukupnya.
4. Perancangan Cukai
Perancangan cukai membabitkan semua orang yang mempunyai pendapatan, namun ini yang selalu tidak diambil berat atau dilupakan oleh kebanyakan orang. Oleh itu, perancangan cukai membabitkan strategi untuk menikmati yang terbaik daripada pendapatan, saham, harta tanah dan harta lain yang anda miliki, bawah sistem cukai tempatan.
5. Perancangan Persaraan
Anda tidak akan bekerja sepanjang hayat. Apabila tanda-tanda usia meningkat sudah bermula atau anda telah mencapai usia mesti bersara, anda terpaksalah bersara. Oleh itu, amat mustahak mempunyai pelan kewangan.
6. Perancangan Harta
Mempunyai perancangan harta atau wasiat dapat memastikan kehendak anda terhadap kedudukan masa hadapan keluarga akan dilaksanakan. Selain itu, perancangan harta atau wasiat dapat menyediakan kedudukan kewangan yang kukuh untuk keluarga anda, memastikan harta anda terpelihara dan diberikan kepada waris-waris anda, serta mengelakkan perselisihan antara ahli keluarga.
Akhir sekali, pelan kewangan yang kukuh sepatutnya bukan sekadar membeli satu pelan insurans atau unit amanah sahaja, tetapi perlu merangkumi keempat-empat kunci utama membina kekayaan iaitu, pengumpulan harta, pengurusan harta, perlindungan harta dan pengagihan harta.
Proses Perancangan Kewangan Peribadi anda melibatkan enam elemen ini iaitu:
  1. Menilai kedudukan kewangan semasa anda.
  2. Menetapkan matlamat kewangan peribadi anda.
  3. Menentukan tindakan yang perlu diambil
  4. Menilai alternatif yang akan memenuhi matlamat kewangan anda
  5. Mewujudkan pelan kewangan anda dan melaksanakannya
  6. Mengkaji semula dan menyemak pelan kewangan anda
Memandangkan keperluan anda adalah berbeza-beza mengikut umur dan keutamaan, keutamaan kewangan anda akan diselaraskan untuk memenuhi keperluan tersebut pada waktu yang berlainan dalam hidup anda. Maka, apa yang anda lakukan dengan wang anda sambil menempuh kehidupan dewasa bergantung pada matlamat kewangan anda. Walau bagaimanapun, adalah penting dan berfaedah untuk ditekankan di sini bahawa untuk mencapai matlamat kewangan, anda perlu membuat simpanan dan menabung mulai sekarang. Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula tabiat berbelanja anda dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan!

0

Apa itu Unit Amanah?

Posted by Rosfazlie on 8:47 AM in
APA ITU UNIT AMANAH/UNIT TRUST?

Dalam bahasa Malaysia ianya dipanggil "amanah saham" tetapi lebih popular dengan gelaran "unit amanah" pada masa kini. Dalam bahasa Inggeris pula dipanggil "unit trust" ataupun "mutual fund" untuk sesetengah negara. Tapi di Malaysia lebih dikenali sebagai unit trust lah. Okeylah, seterusnya kepada definisi pula.


Dari segi definisi menurut Persekutuan Pengurus Unit Amanah Malaysia atau lebih dikenali sebagai Federation of Malaysian Unit Trust Managers (FMUTM): Skim unit amanah atau UTS(Unit Trust Scheme) merupakan suatu bentuk pelaburan kolektif yang membolehkan pelabur yang mempunyai objektif pelaburan yang sama supaya mengumpulkan wang mereka dan kemudian wang tersebut dilaburkan ke dalam portfolio sekuriti atau aset lain yang diuruskan oleh profesional pelaburan.

Dalam bahasa mudahnya, pelabur akan laburkan wang mereka di bawah dana yang dipilih oleh mereka sendiri untuk tujuan yang sama iaitu untuk mendapatkan hasil pulangan daripada wang yang mereka laburkan itu. Wang yang mereka laburkan di dalam dana-dana terpilih itu pula akan diuruskan oleh orang-orang yang mahir dalam bidang pelaburan di bawah kelolaan Syarikat Pengurusan Unit Amanah atau dikenali dengan Unit Trust Management Company (UTMC). 

Anda boleh hubungi saya untuk maklumat lanjut :-

Sayyid Rosfazlie Bin Sayyid Roslie

Copyright © 2009 Pelaburan Unit Amanah All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.